Tuesday 10 January 2012

Terapi lintah mampu sembuhkan penyakit

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan - Terapi lintah atau bekam lintah adalah rawatan tradisional dengan lintah digunakan sebagai alat untuk menjalankan rawatan.

Rawatan itu berasal dari Malaysia dan haiwan berkenaan dibiakkan di Malaysia.

Istilah perubatan untuk lintah adalah Hirudinaria Manillensis. Lintah itu akan diletak di bahagian yang terjejas dan ia sendiri akan mencari bahagian badan yang mempunyai darah kotor.

Apabila bahagian itu ditemui, ia akan menghisap keluar darah. Satu cara rawatan semula jadi tanpa menggunakan sebarang bahan kimia. Pengamal rawatan lintah mempunyai pengetahuan yang banyak dalam fungsi saraf dan anatomi badan.

Rawatan itu mengambil masa yang lebih lama untuk menunjukkan kesan namun ia bergantung pada keseriusan keadaan. Dalam jangka panjang, rawatan lintah atau bekam lintah tradisional tidak mempunyai kesan sampingan.

Rawatan lintah sesuai untuk penyakit gout, diabetes, bisul, membuang jerawat, rawatan saraf dan banyak lagi. Setiap sesi rawatan bergantung pada umur pesakit.

Bagi umur 1-25 tahun, ia mengambil masa 60 hingga 90 minit sebelum lintah jatuh daripada bahagian yang terjejas. Bagi umur 25 tahun dan ke atas, ia mengambil masa 90 hingga 120 minit.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Ain Wafiwah, Awang Abdul Aziz Hj Seri, beliau berharap bekam lintah akan menyediakan gaya hidup yang lebih baik dan lebih sihat.

Awang Aziz merancang membuka pusat perubatan diabetes di seluruh negara dengan sokongan kerajaan Kebwah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam dan agensi berkaitan. Menurutnya, rawatan tradisional boleh menjadi alternatif kepada rawatan moden.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 8878757/7199599 atau layariwww.leech.com.my.

Sumber : http://www.mediapermata.com.bn/isnin/jan9t14.htm

No comments: