Tuesday 10 January 2012

Review Filem Ombak Rindu

Filem:
Ombak Rindu
Pengarah:
Osman Ali
Genre:
Drama & Romantik
Pelakon:
Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani, Bront Palarae,
Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Normah Damanhuri & Etc.
Penilaian:
8 / 10
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang perjalanan cinta dua insan iaitu Izzah dan Hariz dari dua dunia yang berbeza dan mereka terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum menemui kebahagiaan. Izzah adalah gadis kampung yang telah dijual oleh bapa saudaranya kepada sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur untuk dijadikan pelacur. Seorang pemuda bernama Hariz yang merupakan anak kepada Datuk Sufiah iaitu seorang pemilik empayar perniagaan telah mermbeli Izzah dari pemilik kelab tersebut untuk dijadikan perempuan simpanannya namun Izzah telah merayu Hariz supaya menikahinya untuk menghalalkan hubungan mereka.



Aaron Aziz Dan Maya Karin
Hariz setuju dengan syarat Izzah tidak menuntut sebarang hak sebagai isteri. Namun selepas itu, Hariz yang bersifat kasar dan panas baran orangnya telah jatuh cinta dengan Izzah yang penuh dengan kelembutan. Hariz kemudian terpaksa menikahi Mila yang merupakan kawan di zaman persekolahannya setelah didesak oleh Datuk Sufiah. Tambahan pula Mila pun amat mencintai Hariz. Semasa Hariz koma di hospital akibat kemalangan jalan raya, Datuk Sufiah telah menghalau Izzah keluar dari rumah Hariz dan merampas telefon bimbit Izzah.

Lisa Surihani Sebagai Mila
Setelah keluar dari hospital, Datuk Sufiah memberitahu Hariz yang Izzah telah menjalin hubungan dengan lelaki lain. Hariz yang marah telah memberitahu Izzah bahawa dia akan digantung tidak bertali semasa terserempak dengan Izzah di rumah pak Dollah iaitu pemandu keluarga Datuk Sufiah. Izzah kemudian kembali ke kampungnya. Pak Dollah yang marah dengan Datuk Sufiah telah memecahkan rahsia bahawa Hariz adalah anaknya yang telah diserahkan kepada suami Datuk Sufiah untuk dijadikan anak angkat serta memberitahu Hariz bahawa Izzah tidak bersalah. Hariz yang menyesal dan amat rindukan Izzah telah pergi ke kampung Izzah untuk memujuknya supaya kembali kepangkuan beliau.Adakah Hariz akan berjaya? Apakah yang akan terjadi seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda.
Ulasan Hans:
Filem Ombak Rindu ini merupakan adaptasi daripada sebuah novel yang sangat popular di kalangan pembaca novel di Malaysia yang judulnya juga bertajuk Ombak Rindu. Mungkin kerana keistimewaan, kelainan atau kebijaksanaankisah cinta yang terdapat di dalam novel tersebut membuatkan pihak produksi berani mengangkat judul ini untuk dipindahkan ke dalam bentuk filem. Aku tidak pernah membaca novel ini jadi segala ulasan, pandangan, komen atau kritikan aku berdasarkan seorang penonton yang langsung tidak tahu menahu tentang struktur kisah di dalam novel tersebut.

Aaron Aziz Pelakon Yang Hebat!
Pertama sekali aku amat menyukai jalan cerita filem ini kerana bagi aku ia lari daripada adegan – adegan stereotaip yang selalunya ditonjolkan di dalam filem – filem yang membawa tema yang lebih kurang sama seperti filem ini dan ia membuatkan aku sangat berpuas hati dan cukup terhibur menonton setiap adegan di dalam filem Ombak Rindu ini. Mungkin agak klise pada permulaannya jika dilihat pada kisah seorang gadis kampung yang dipaksa oleh pakciknya untuk menjadi seorang pelayan atau pelacur tanpa kerelaan diri namun apa yang menariknya disini ialah bagaimana pembinaan watak Hariz yang digambarkan sebagai seorang anak orang kenamaan yang kaki perempuan, panas baran dan angkuh berubah menjadi seorang yang baik dan mula kenal erti cinta selepas bertemu dengan watak Izzah yang berpegang teguh kepada agama. Apa yang membuatkan aku cukup suka dengan filem ini ialah apabila watak ‘hitam’ yang selalunya jika dilihat pada filem – filem yang lain akan sentiasakelihatan hitam hatinya sehingga ke akhir filem dan kemungkinan akan diberihukuman yang cukup berat pada pengakhirnya namun ia sangat berlawanan dengan karakter Hariz di dalam filem Ombak Rindu ini. Bagaimana bijaknya penulis kisah ini mengubah watak Hariz tersebut daripada ‘hina’ dimata penonton pada awalnya kerana setiap penonton sudah diberitahu bahawa Hariz ini sebenarnya sudah pun merosakkan ramai wanita namun bijaknya yang aku katakan itu apabila watak ini menjadi begitu ‘suci’ dan betapa hebatnya kuasa agama dapat memutihkan hati Hariz yang sebelum itu begitu hitam. Aku sukakan kisah ini kerana kisah gadis dirogol yang dipaparkan lain daripada yang lain dimana sememangnya tidak ada gadis pun yang mahu kejadian itu berlaku pada diri mereka namun bagaimana watak Izzah ini cuba menangani masalah tersebut di dalam filem sememangnya sebuah idea segar yang memang menarik untuk dipertontonkan.

Salah Satu Babak Yang Agak Comel Bagi Aku


Apa aku boleh katakan jalan cerita filem ini walaupun penuh dengan linangan air mata namun rasa manisnya tetap ada. Aku sukakan air mata yang dipertontonkan kepada penonton di dalam filem ini kerana bagi aku air mata mereka bukannya air mata di dalam kategori sampah yang tidak membawa erti apa – apa. Setiap air mata mereka sangat bernilai kerana ia menunjukkan emosi setiap watak yang membantu mereka menyampaikan apa yang tersirat kepada penonton dan menguatkan jalan cerita filem ini. Jadi, bagi aku memang pihak produksi bertuah kerana memilih jalan cerita Ombak Rindu untuk difilemkan.Anda sangat beruntung wahai penerbit filem Ombak Rindu!

Pemilihan Lokasi Pengambaran Yang Bijak Bagi Aku
Dari segi pelakon, aku sangat mengagumi pelakon Aaron Aziz dan Bront Palarae yang bagi aku sentiasa bijak dalam menghidupkan watak dan tidak pernah mengecewakan aku yang sentiasa menonton lakonan mereka. Aaron Aziz bagi aku sememangnya seorang pelakon yang bagus kerana di dalam satu masa anda dapat melihat karakter watak yang ditunjukkan beliau berubah daripada baran, emosi, baik serta kelakar dan jika permohonan anda untuk menjadi warganegara Malaysia diterima maka aku sudah nampak anda berpeluang besar menggenggam trofi pada FFM tahun hadapan. Bront pula sememangnya seorang yang bijak apabila mengungkap kata dan watak beliau berjaya menghiburkan penonton. Maya Karin pula bagi aku agak bagus walaupun kelihatan masih seperti gadis bandar namun kehebatannya dalam memberi emosi kesedihan yang berpanjangan di dalam filem ini wajar dipuji. Aku merasakan hampir 90% watak yang melibatkan Maya Karin memerlukan beliau memberi emosi sedih dan bukan mudah untuk sentiasa berada di dalam keadaan sebegitu. Jadi, usaha Maya Karin amat aku hargai. Lisa Surihani pula sekali lagi tampil dengan watak yang pada awalnya kelihatan sedikit antagonis namun aku menyukai watak ini. Bagi aku Lisa memberi kejutan yang agak menarik di dalam filem ini kerana dia bijak memanfaatkan watak Mila yang diberikan. Jika sebelum ini aku selalu menonton beliau di dalam watak yang lembut dan feminin namun di dalam filem ini Lisa berubah 100%. Kasar, garang, pentingkan diri dan pelbagai lagi menghiasi karakter Mila yang dibawakannya. Apa aku boleh katakan senarai pelakon utamanya berjaya menjadikan filem Ombak Rindu ini bergerak dengan lancar dan kelihatan begitu hidup. Tahniah kepada mereka berempat! Pelakon – pelakon lain juga tidak terkecuali kerana anda juga berjaya menghidupkan watak masing – masing terutamanya Zaidi Omar serta Normah Damanhuri, Julia Ziegler dan Azizah Mahzan walaupun watak yang dibawakan Azizah Mahzan agak membuatkan aku menyampah dengan pakaian dan intonasi suaranya yang mengada – ngada. Hahaha! Tetapi, yang paling membuatkan aku menyampah ialah suara wartawan hiburan yang menemuramah Mila yang bagi aku langsung tidak kelakar tetapi sangat menjengkelkan!

Salah Sebuah Babak Yang Menarik Bagi Aku
Filem ini juga berjaya membuatkan mata aku terpesona dengan keindahan sinematografi serta pencahayaan yang bagi aku sangat menarik dan cantik. Mungkin kerana penerbit filem ini iaitu Sharad Sharan cuba mengaplikasi sinematografi ala – ala filem Bollywood ke dalam filem ini dan ia sememangnyasatu percubaan yang bagus dan berjaya. Pemilihan lokasi yang tepat seperti di sawah padi serta di Cameron Highland menjadikan suasana filem ini betul – betul mendamaikan. Cuma dari segi skor muziknya adakalanya aku tidak dapat menerimanya seratus peratus. Entah! Aku rasakan seperti sesuai untuk sesetengah adegan sahaja. Kemudian beberapa pertukaran daripada satu babak kepada satu babak yang kelihatan seperti terlalu tergesa – gesa agak mengganggu sedikit fokus aku sebenarnya cuma aku masih boleh memaafkannya.

Salah Sebuah Adegan Yang Menarik
Terdapat beberapa adegan yang menarik perhatian aku yang juga menunjukkan ini adalah filem Osman Ali seperti adegan Izzah memandikan makciknya yang sakit, adegan di sawah padi yang menunjukkan bagaimana Ismail cuba meluahkan perasaannya pada Izzah, adegan bagaimana perhubungan Hariz dan Izzah ‘kantoi’ sewaktu kedua – dua orang gaji Hariz iaitu Pak Dollah dan isterinya mengadakan kenduri sempena mereka mahu menunaikan haji di Mekah serta yang amat menarik dan cukup aku suka sewaktu adegan Mila dan Izzah terlihat aksi Hariz memeluk Wafiah untuk menenangkannya yang sememangnya sangat menarik perhatian aku. Aku suka dengan kebijaksanaan Osman Ali memanfaatkan kelebihan – kelebihan tersebut di dalam mencantikkan lagi perjalanan cerita filem ini. Cuma sedikit mengecewakan berkenaan babak Pak Dollah memberitahu Hariz bahawa beliau ialah anak kandungnya yang bagi aku babak itu seperti terlalu tergesa – gesa kerana sebenarnya babak itu mempunyai kekuatan yang kuat jika betul – betul pandai diolah dan dimanfaatkan sebaik mungkin. Apa – apapun, babak tersebut masih boleh diterima!

Antara Rasa Cinta, Kasih Ibu Dan Pilihan Hati!
Apa yang aku boleh katakan filem ini ada kekuatan jalan ceritanya tersendiri yang unik dimana mungkin secara tersuratnya orang lain akan menilai ia hanya sebuah jalan cerita yang berakhir dengan kegembiraan namun bagi aku ia lebih daripada itu kerana aku suka bagaimana watak – watak hitam yang selalunya dipandang negatif berjaya dineutralkan menjadi suci. Pelakon – pelakon filem ini juga telah memberi lakonan yang mantap dan cukup hidup! Pencahayaan dan sinematografi yang cukup menarik dan indah! Jadi, apa lagi yang anda mahukan? Filem ini walaupun boleh dikatakan bersifat melankolik atau senang cakap dilatari babak – babak yang beremosi namun ia sememangnya menarik dan menghiburkan. Jadi, selamat menonton dan nikmatilah filem Ombak Rindu ini sebaik – baiknya. Tahniah kepada semua pelakon dan krew produksi yang terlibat di dalam menjayakan filem ini

No comments: