Tuesday 10 January 2012

Minda: Waspada Bahasa Tubuh

“SEBAB nila setitik rosak susu sebelanga”. Kisah pensyarah tidak bermoral sering mendapat perhatian umum, sekali gus menjadikan profesion berkenaan tercemar dengan perlakuan sumbang yang menyalahi etika.

Meskipun kes salah laku membabitkan pensyarah agak terpencil namun oleh kerana profesion berkenaan kerjaya yang dipandang mulia, ia menjadi perhatian masyarakat.
Baru-baru ini dua kes membabitkan salah laku pensyarah lelaki yang dikatakan merogol dan mencabul kehormatan pelajar perempuannya mendapat liputan akhbar.

Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan. Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ‘ringan-ringan’ dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan.

Enam hari selepas itu pada 3 November seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta pula dirogol pensyarah berusia 40-an di Kuala Lumpur. Pelajar perempuan kolej swasta itu didakwa diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul sebelum dirogol pensyarah itu. Sebelum kejadian, pensyarah itu memperdaya mangsa untuk berjumpa di pejabatnya dengan alasan berbincang mengenai pelajaran.

Kedua-dua kes yang dilaporkan jelas membuka mata masyarakat bahawa walaupun ia kes terpencil namun tidak boleh dipandang remeh kerana sejak kebelakangan ini masalah salah laku tidak hanya membabitkan mereka yang tidak berpelajaran tetapi juga menular kepada golongan berpendidikan tinggi, berpangkat dan dipandang mulia masyarakat.

Jelaslah pangkat, ilmu dan kematangan seseorang bukan kayu pengukur kepada akhlak mulia. Bagaimanapun, masalah ini berpunca daripada banyak faktor.

Kaunselor di Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dayang Suzana Awang berkata, masalah salah laku pensyarah tidak boleh dilihat dari satu sudut saja. Tidak dinafikan si pelaku sering dipersalahkan dalam hal ini. Secara logik akal seorang yang berilmu dan berpendidikan tinggi boleh membezakan antara perkara baik dan sebaliknya.

“Namun, dalam hal ini faktor persekitaran kadangkala turut memainkan peranan. Ia berlaku kerana ada kesempatan dan peluang selain masalah lain termasuk peribadi yang dialami pensyarah berkenaan. Biasanya sebelum perkara ini berlaku isyarat awal mungkin telah dikesan oleh pelajar mengenai pensyarah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, perkara seumpama ini bukan berlaku sekelip mata, malah lazimnya sudah pun diberi isyarat awal. Umpamanya daripada perkataan, perbuatan dan bahasa tubuh yang dilakukan pensyarah berkenaan kepada pelajar adalah sebagai satu tanda yang dapat difahami mengenai niat seseorang itu.

“Kadangkala naluri juga dapat mengesan perasaan dan perbuatan yang dianggap tidak normal. Jika ini berlaku dan isyarat awal sudah dapat dikesan, pelajar seharusnya boleh mengagak bahawa pensyarah berkenaan ada niat tidak baik. Oleh yang demikian pelajar perlu lebih berhati-hati apabila berurusan dengannya.

“Jika pelajar mengabaikan isyarat awal berkenaan, persepsi pensyarah mungkin beranggapan pelajar menunjukkan rela dan ini mendorong perbuatan tidak bermoral pensyarah berkenaan. Pelajar juga dianggap bersetuju dengan isyarat dan makna tersirat yang diberikan oleh pensyarah. Seharusnya apabila pelajar dapat mengesan atau berasakan sesuatu yang tidak kena dengan pensyarah berkenaan mereka harus menghindarkan diri,” jelasnya.

Selain itu, Dayang Suzana juga menasihati pelajar agar berpakaian mengikut etika kerana jika pakaian menjolok mata juga antara faktor yang boleh merangsang seksual pensyarah lelaki untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dengan lambakan bahan porno di pasaran tidak mustahil pengaruh negatif itu menular kepada sesiapa juga tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

Dengan itu beliau menasihatkan pelajar perempuan agar lebih berhati-hati apabila datang berjumpa pensyarah lelaki berseorangan. Adalah lebih baik datang dengan rakan apabila berurusan dengan pensyarah sebagai jalan selamat.

“Bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku pelajar wanita perlu tahu hak mereka dan jangan kerana terlalu taksub untuk mendapatkan markah cemerlang hingga sanggup berbuat apa saja untuk pensyarah. Adakalanya pelajar tidak rasa bersalah kerana beranggapan pensyarah sebagai orang yang lebih tua dan boleh dianggap bapa, tetapi sebenarnya nafsu tidak mengenal usia dan pangkat. Oleh itu sebagai wanita mereka perlu lebih berhati-hati menjaga hak mereka daripada diceroboh,” tegasnya.

Menurut Dayang Suzana lagi, kes pelajar yang dicabul tanpa kerelaan hati, memang ada namun setengahnya berasa serba salah atau malu untuk membuat laporan kerana bimbang masa depan mereka terjejas jika digagalkan oleh pensyarah. Dalam hal ini beliau menasihatkan pelajar perempuan agar berani melaporkan kepada pihak atasan jika berlaku perkara tidak diingini terhadap mereka.

Beliau tidak menafikan ada juga kes pelajar yang merelakan perbuatan tidak bermoral pensyarah kerana mereka ingin berjaya dengan cara mudah. Pelajar seumpama ini akan menjadi graduan yang tidak berkualiti dan apabila menceburi bidang pekerjaan akan gagal menjadi pekerja yang baik, amanah dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, situasi yang tidak sihat ini akan merosakkan masa depan negara kerana melahirkan graduan tidak berkualiti hingga menjadikan masyarakat kurang yakin kepada mereka yang berjawatan tinggi dan berilmu.

Sementara itu, Dr Zaridah Abdullah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam pula menyifatkan pensyarah yang mencabul pelajar sebagai “pagar makan padi”. Sebagai pendidik mereka seharusnya menunjukkan contoh baik dan menganggap pelajar sebagai anak mereka.

“Pensyarah juga adalah sebagai pengganti ibu dan ayah kepada pelajar kerana di universiti pelajar lebih banyak berurusan dengan mereka dalam proses mendapat ilmu dan menimba pengalaman.

“Jelas menyalahi etika dan hak asasi kemanusiaan jika pensyarah yang diamanahkan oleh universiti dan ibu bapa untuk memberi ilmu berbuat sesuatu yang tidak bermoral kepada pelajar,” katanya.

Peranan pendidik dan pensyarah amat luas bukan saja setakat memberi ilmu tetapi juga bertanggungjawab menasihati pelajar jika mereka membuat kesilapan dan salah laku yang menyalahi undang-undang serta peraturan universiti dan peraturan hidup.

Zaridah berpendapat mungkin kes yang membabitkan salah laku pensyarah amat kecil namun kes seumpama ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak ditangani boleh menjejaskan bukan saja kehidupan individu yang terbabit tapi juga institusi pendidikan secara umumnya.

Ini juga, katanya, sebagai amaran kepada pensyarah dan pendidik bahawa amatlah penting menjaga tingkah laku dan menunjukkan contoh baik bagi meningkatkan lagi profesion mereka di mata masyarakat. Ia bertujuan memperkasakan profesion tenaga pengajar seterusnya memberikan keyakinan kepada masyarakat agar terus memartabatkan kerjaya di bidang pendidikan di negara kita.

Justeru, di sebalik kes terpencil yang membabitkan pensyarah, hakikatnya masih ramai pensyarah dan tenaga pengajar yang masih disanjung masyarakat. Apa yang mereka lakukan adalah contoh terbaik bagaimana profesion itu adalah satu kerjaya yang sangat mulia di mata masyarakat.

Di kawasan pedalaman, misalnya kita dapat melihat kegigihan guru yang tidak mengenal erti penat dan jemu menabur bakti memberi ilmu kepada anak bangsa. Mereka itulah serikandi negara yang tidak jemu berkorban untuk melahirkan generasi berilmu dan berakhlak. Mereka juga ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

Natijahnya “Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit sama”. Sama-samalah kita membanteras perkara yang mungkar dan membangunkan anak bangsa dengan memberi sokongan kepada profesion pendidikan agar generasi akan datang dapat dibentuk menjadi masyarakat yang berkualiti sejajar dengan penerapan ilmu dan akhlak yang seimbang.

No comments: