Tuesday 10 January 2012

Apa Erti Menjadi Isteri Solehah

Apa erti menjadi isteri solehah. Pelbagai
pandangan dan jawapan mampu kita
tafsirkan, samada melalui pembacaan,
perbincangan dan perkongsian
pengalaman. Kita menyingkap kembali
sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda
menziarahi menantunya.

Pada waktu itu,
puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah
sedangkan isterinya belum pernah
bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim.
Apabila sampai di rumah anaknya itu,
terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan
menantunya.

Nabi Ibrahim : Siapakah kamu?
Menantu : Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim : Di manakah suamimu,
Ismail?
Menantu : Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimanakah keadaan
hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam
kesempitan dan (mengeluh) tidak pernah
senang dan lapang.
Nabi Ibrahim : Baiklah! Jika suamimu
balik, sampaikan salamku
padanya. Katakan padanya, tukar tiang
pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya
menceraikan isterinya).
Menantu : Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada
berburu, isterinya terus menceritakan
tentang orang tua yang telah singgah di
rumah mereka.
Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang
ditanya oleh orang tua itu?
Isteri : Dia bertanya tentang
keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku ceritakan kita ini
orang yang susah. Hidup kita ini selalu
dalam kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-
apa?
Isteri : Ya ada. Dia berpesan
supaya aku menyampaikan
salam kepadamu serta meminta kamu
menukarkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Sebenarnya dia itu
ayahku. Dia menyuruh kita
berpisah. Sekarang kembalilah kau
kepada keluargamu.

Ismail pun menceraikan isterinya yang
suka merungut, tidak bertimbang rasa
serta tidak bersyukur kepada takdir Allah
SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia
rumah tangga kepada orang luar.

Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail
berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi
Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan
tujuan menziarahi anak dan menantunya.

Berlakulah lagi pertemuan antara mertua
dan menantu yang saling tidak mengenali.
Nabi Ibrahim : Dimana suamimu?
Menantu : Dia tiada dirumah. Dia
sedang memburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimana keadaan
hidupmu sekeluarga? Mudah -mudahan
dalam kesenangan?
Menantu : Syukurlah kepada tuhan,
kami semua dalam keadaan
sejahtera, tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim : Baguslah kalau begitu.
Menantu : Silalah duduk sebentar.
Boleh saya hidangkan sedikit makanan.
Nabi Ibrahim : Apa pula yang ingin
kamu hidangkan?
Menantu : Ada sedikit daging,
tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim : (Berdoa) Ya Allah! Ya
Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan
minum mereka. (Berdasarkan peristiwa
ini, Rasulullah beranggapan keadaan
mewah negeri Makkah adalah
berkat doa Nabi Ibrahim).

Nabi Ibrahim : Baiklah, nanti apabila
suamimu pulang, sampai- kan
salamku kepadanya. Suruhlah dia
menetapkan tiang pintu rumahnya sebagai
kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi
Ismail).

Apabila Nabi Ismail pulang daripada
berburu, seperti biasa dia bertanya
sekiranya sesiapa datang datang
mencarinya.
Nabi Ismail : Ada sesiapa datang
semasa aku tiada di rumah?
Isteri : Ya, ada. Seorang tua
yang baik rupanya dan
perwatakannya sepertimu.
Nabi Ismail : Apa katanya?
Isteri : Dia bertanya tentang
keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku nyatakan kepadanya
hidup kita dalam keadaan baik,
tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga
dia makan dan minum.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan
apa-apa?
Isteri : Ada, dia berkirim salam
buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan
tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya
dialah ayahku. Tiang pintu
yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang
dimintanya untuk aku kekalkan.
Isteri : Alhamdulillah, syukur.

Bagaimana pandangan pembaca tentang
petikan sejarah ini? Kisah sejarah ini
sungguh menyentuh jiwa. Anda juga tentu
merasai dan mengalami sendiri ujian
hidup berumahtangga yang sentiasa
perlukan kesabaran.
Berpandukan sejarah tersebut, bolehlah
kita tegaskan kepada diri sendiri bahawa
isteri solehah itu sepatutnya ‘sabar di hati
dan syukur pada wajah’.

Daripada sini akan
terpancar ketenangan setiap kali suami
berhadapan dengan isteri solehah. Isteri
solehah tidak cerewet dan tidak mudah
merungut. Isteri solehah hendaklah
sentiasa bersyukur dalam keadaan senang
mahupun susah supaya Allah
tambahkan lagi rahmat-Nya seperti firman-
Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur,
pasti Aku tambahkan nikmat-Ku
kepadamu. Dan jika kamu mengingkari
nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku
amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Untuk menambahkan kegigihan kita
berusaha menjadi isteri solehah, ingatlah
hadith Rasulullah yang bermaksud:
“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau
temui daripada kaum wanita, bahawasanya
taat kepada suami serta mengakui haknya
adalah menyamai pahala orang yang
berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat
sedikit sekali golongan kamu yang dapat
melakukan demikian.”
(Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani )
Begitulah, untuk menyediakan diri
sebagai isteri solehah, hati kita hendaklah
sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang
rabbani. Contoh teladan yang sepatutnya
jadi rujukan kita ialah sejarah kehidupan
nabi serta orang soleh.

No comments: