Tuesday 10 January 2012

Lelaki Tua dan Gadis: Kisah di Kedai Makan

Suatu hari yang dingin dan tenang. Langit kelihatan membiru dihiasi tompok-tompok awan persis laut yang luas dan hempasan ombak yang sederhana ganas.

Di bawah langit yang tenang lagi biru itu, bumi terlihat tenang dengan dedahan pohon yang kecil melambai-lambai ditiup angin. Begitulah indahnya kurnia Tuhan buat manusia yang mahu berfikir.

Bertemankan bayu yang berpuput lembut, seorang tua tenang menikmati hidangan di sebuah kedai makan sederhana kecil di pinggir ibu kota. Selepas beberapa suap, dia menghirup perlahan minumannya yang kelihatan berasap. Sejurus meletakkan cawan, dia tersenyum beberapa ketika sebelum kembali mengadap pinggan yang belum licin.

Berkata si lelaki tua, "Alhamdulillah, sedap benar hidangan hari ini. Luar biasa!" lalu dia tersenyum lagi.

Di meja bersebelahan dengan tempat duduk lelaki tua itu, seorang gadis sedang mengetuk-ngetuk meja dengan jari. Wajahnya cantik namun terlindung apabila dia asyik menyembunyikan senyuman di sebalik riak masam. Matanya juga asyik tertunduk-tunduk memandang meja.

Gumam si gadis, "Mengapalah lambat benar servis kedai ini? Sudah hampir 15 minit saya menunggu tetapi air yang dipesan masih belum sampai-sampai."

Jemari halus itu terus mengetuk-ngetuk meja dan wajah yang cantik itu semakin masam. Semakin lama, semakin kuat bunyi ketukan di meja itu membuatkan si lelaki tua di meja sebelah mendongak ke arahnya. Lelaki tua itu tersenyum ke arahnya sebelum tertunduk semula. Tanpa mempedulikan senyuman dan pandangan si lelaki tua, gadis itu terus mengetuk mejanya.

Beberapa minit kemudian, lelaki tua itu mendongak lagi. Sekali lagi, dia tersenyum kepada gadis itu namun hanya dibalas dengan kerutan di dahi dan muncungan panjang.

Lelaki tua itu pun bertanya, "Mengapa kamu tidak tersenyum dan asyik mengetuk-ngetuk meja sejak tadi, wahai anak muda?"

Tersentak, gadis itu menoleh lalu jari-jari runcingnya spontan berhenti mengetuk meja. Dia memandang lelaki tua itu dengan wajah tanpa riak lalu berkata, "Saya sudah letih menunggu pesanan saya ang masih belum sampai sejak tadi. Mengapa pak cik bertanya begitu?"

Lelaki tua itu menghirup minumannya lagi lalu berkata, "Sudah kamu tanyakan kepada mana-mana pelayan mengapa pesanan kamu masih belum terhidang?"

Gadis itu menggeleng-geleng.

Sambung si lelaki tua, "Lalu, mengapa kamu kecewa dan marah?"

Gadis itu diam. Lelaki tua itu berkata lagi, "Tetapi, bersyukurlah kerana marahmu masih terkawal."

Mengangguk-angguk, gadis itu kemudian bertanya, "Apa maksud pak cik?"

Lelaki tua itu tersenyum dan bersedia mahu menyambung kata tetapi terhenti apabila kedai makan itu kecoh secara tiba-tiba! Serentak, lelaki tua dan si gadis menoleh ke hujung kedai.

Seorang lelaki berpakaian serba merah sedang marah-marah! "Sudah lama saya menunggu, mengapa pesanan saya masih belum siap? Apa awak semua mahu bertanggungjawab kalau saya mati kelaparan?"


Pelayan yang dimarah itu meminta maaf berkali-kali kepada pelanggannya namun dengan mata yang merah lelaki itu berkata, "Sudahlah, batalkan sahaja pesanan saya itu! Saya mahu ke kedai lain!" lalu dia keluar dengan wajah yang merah.


Lelaki tua itu tergeleng-geleng lalu dia tertawa kecil sementara si gadis mengedipkan matanya beberapa kali.

Gadis itu melopong.

Lalu, berkatalah si lelaki tua, "Itulah maksud saya tadi. Marahmu masih terkawal dan kami masih dapat bersabar. Bersyukurlah kerana itu. Kasihan dia, tentu dia lapar. Semoga dia tidak perlu menunggu lama-lama juga di kedai yang dia sedang tuju itu. "

Kemudian, lelaki tua itu menyambung lagi, "Kata Aa Gim, jika ada orang marah, bersyukurlah kerana bukan kita yang marah. Kasihanlah padanya kerana dia gagal mengawal dirinya."

No comments: