Tuesday 10 January 2012

Hijrah Sperma Menjadi Seorang Manusia

Setelah sekian lama menginap di dalam
skrotum di bahagian epididimis seorang
insan yang bergelar lelaki, telah berlakunya
peristiwa penghijrahan beramai-ramai
jutaan sperma ke suatu tempat yang asing
bagi mereka.

Mereka berhijrah melalui kaedah pancutan
ke dalam tubuh seorang wanita. Ke suatu
tempat yang tidak pernah mereka jejaki
sebelum ini.
Di tempat asing tersebut, para sperma
berlumba-lumba pula menuju ke Tiub
Fallopio. Dengan hasrat dan azam yang
tinggi, menjadi satu-satunya sperma yang
berjaya memikat hati sang ovum.

Pelbagai
rintangan ditempuhi. Hingga ada yang sesat
dan terperangkap. Malah ada yang
terbunuh. Hanya satu sahaja sperma
bertuah yang layak bersatu dengan ovum.
Setelah mereka berdua bersatu, selaput
ovum tiba-tiba bertukar dan bertindak
menyekat kemasukan sperma yang lain.

Ovum dan sperma bersenyawa dan menjadi
zigot. Setelah membesar menjadi embrio,
berhijrah pula ke uterus untuk menempel
di situ. Setelah itu, berlaku pelbagai lagi
transformasi hingga menjadi fetus yang
hampir lengkap ciri-ciri seorang bayi.
Genap 9 bulan 10 hari, fetus mula
mengganas. Menendang-nendang tempat
penginapannya sebagai tanda protes mahu
berhijrah lagi. Kali ini, dia mahu berhijrah
ke tempat yang lebih luas dan indah.

Akhirnya... Uwekk.. Uwekk.. Uwek.. Dia
berjaya keluar dari alam rahim untuk
berhijrah ke alam dunia. Fetus kini bergelar
bayi. Dan bakal terus membesar dan
membesar menjadi seorang manusia.
Hijrahnya tidak akan terhenti setakat itu
saja. Di dunia yang fana ini, dia akan terus
berhijrah. Berhijrah dari suatu tempat ke
suatu tempat. Berhijrah dari darul kufur ke
darul Islam. Berhijrah dari sifat mazmumah
kepada sifat mahmudah. Berhijrah daripada
seorang manusia menjadi seorang insan
yang soleh dalam usaha menjayakan misi
penghijrahannya yang terakhir. Iaitu hijrah
menuju keredhaan Allah serta syurga yang
kekal abadi. InsyaAllah...

No comments: